LATAR BELAKANG

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) adalah sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. 

Jabatan ini telah ditubuhkan pada 1 Julai 1999 hasil penggabungan Jabatan Penyiasatan Kajibumi dan Jabatan Galian. Kedua-dua Jabatan ini merupakan antara jabatan kerajaan yang tertua di negara ini. Jabatan Penyiasatan Kajibumi ditubuhkan pada tahun 1903 manakala Jabatan Galian ditubuhkan pada tahun 1877. 

Faktor utama mendorong keputusan kerajaan untuk menggabungkan kedua-dua Jabatan adalah berikutan dengan kemerosotan industri perlombongan terutamanya bijih timah. 

Penggabungan kedua-dua Jabatan ini diharap akan dapat mewujudkan sinergi dan mengelakkan pertindihan tugas antara kedua-dua Jabatan. Di samping itu ia juga akan melicinkan dan mempertingkatkan lagi kualiti dan produktiviti Jabatan khususnya dan perkhidmatan awam di negara ini amnya.

Aktiviti utama Jabatan Penyiasatan Kajibumi semasa penubuhannya ialah melaksanakan pemetaan geologi dan eksplorasi sumber mineral. Pada awal tahun tujuh puluhan, skopnya telah diperluaskan merangkumi aspek-aspek geosains yang lain. Aktiviti yang dilaksanakan termasuk pemetaan geologi, geologi marin, geologi kejuruteraan, geologi alam sekitar, hidrogeologi, geofizik dan pelbagai perkhidmatan makmal.

Fungsi utama Jabatan Galian sebelum gabungan ialah mengurus dan menguatkuasakan peraturan dan undang-undang berkaitan perlombongan dan pengkuarian dan kompilasi statistik berkaitan perlombongan dan industri mineral. Di bawah Jabatan Galian juga terdapat Institut Penyelidikan Galian yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan dengan industri perlombongan terutamanya bijih timah.